Wani menjengah ke luar tingkap. Bunyi bising yang datang dari rumah sebelah benar-benar mengganggu ketenteraman hari minggunya. Laptop yang yang dihadapnya sejak dua jam lepas ditutup kasar tanda protes, dia melangkah keluar dari bilik. Niatnya hendak ke tingkat bawah terbantut apabila melihat pintu bilik abangnya terbuka luas.
"Abang!" jerit Wani.
Yazir yang sedang memetik gitar di hujung katil mengangkat kepalanya. Wajah Wani yang tersengih-sengih dipandang selamba sebelum dia memetik gitarnya semula.
"Abang!" jeritnya lagi.
"Apa?" Yazir meletakkan gitarnya di tepi meja. Hilang mood hendak mencari ilham dek suara Wani yang macam petir menyambar.
"Nak masuk boleh?" Wani tersengih lagi.
"Tak bagi masuk pun nanti masuk jugak, tak ada point pun nak minta kebenaran."
"Abang nak pergi dating yea?" usik Wani apabila dilihat abangnya berpakaian agak kemas. Yazir diam tidak menjawab.
"Abang nak keluar dating dengan Dhia yea. Mesti nak tengok wayang ni." Wani terus mengusik.
Yazir diam malas melayan. Dia cukup masak dengan perangai Wani yang terkenal dengan mulut becoknya. Nanti habis dijaja halnya dengan Dhia dengan ibunya, apa dia nak menjawab nanti.
"Jangan sibuklah Wani. Kalau nak menyibuk sangat, pergi rumah orang sebelah tu." Yazir bangun dan menjengah ke luar tingkap biliknya.
"Apa yang bising sangat tu abang. Buat renovation ke apa?
"Pindah masuklah."
"Pindah apa bunyi macam kat kuari pecah batu aje. Rumah kita bergegar sekali."
"Abang rasakan baik Wani pergi menyibuk kat sebelah daripada menyibuk kat sini. Untung-untung ada pakwe hensem," ujar Yazir dalam usaha mengusir Wani keluar dari biliknya. Kalau dibiarkan mahu bertapa sampai ke petang, tak terlayan dia dengan perangai adiknya itu.
"Eleh macamlah Wani tak tahu, abang nak halau Wani kan?"
"Dah tahu lagi nak banyak tanya. Dah sshuhhh..shhuhh." Yazir mengibas-ngibaskan tangannya seperti menghalau ayam lagaknya. Wani menjuih bibir, dia bangun dan berjalan dalam keterpaksaan menghala ke pintu.
"Beritahu umi abang nak keluar dengan Dhia baru tahu," ugut Wani sambil mencekak pinggang di hadapan pintu bilik Yazir.
"Buatlah kalau berani. Abang suruh abah cut off wifi baru tahu, menganga tak dapat nak stalk facebook Hazim." Yazir angkat kening dengan senyum simpul tanda mengugut. Wani mengetap bibir geram, dia menjelir lidahnya sebelum melangkah menuruni anak tangga yang menuju ke tingkat bawah. Sampai sahaja di ruang tamu, dilihat kedua ibubapanya sedang berbual. Entah apa yang dibualkan sehingga kehadirannya langsung tidak mereka sedari.
Wani berjalan ke arah pintu dan menjengah ke luar pintu, kakinya dijengket untuk melihat di sebalik tembok batu yang memisahkan rumahnya dengan rumah sebelah. Wani perlahan-lahan menghampiri tembok yang tinggi paras matanya, tangannya memegang bahagian atas tembok itu dan lehernya dipanjangkan. Kelihatan seorang lelaki berdiri sambil memerhati barang-barang yang dipunggah keluar dari lori. Wani terus memerhati lelaki itu dan tidak semenq elaki itu memalingkan muka ke arahnya.
"Kalau nak stalk pun cubalah bagi salam!" Setepek ayat itu dilontarkan kepada Wani. Tepat, padu menusuk ke hatinya. Wani menjuih bibir. "Nanti rumah kau terbakar jangan harap aku nak tolong!!!" jerit Wani tapi, dalam hati sajalah. Gila dia nak menggadai maruah perempuan melayu terakhir untuk lelaki yang entah kerek macam tu.
Wani segera masuk ke dalam rumah, dia duduk di sebelah ibunya. Mukanya masam. Tangannya kemudian mencapai alat kawalan jauh di atas meja kaca di depan sofa. Puan Salmah jungkit kening memandang suaminya Encik Razlan yang turut terpinga-pinga melihat muka kelat Wani.
"Masamnya," perli Encik Razlan. Wani menoleh.
"Kenapa ni?" tanya Encik Razlan lagi.
"Orang sebelah taukeh kilang cuka ke?" tanya Wani tiba-tiba. Terbatuk Encik Razlan mendengar pertanyaan Wani.
"Kilang cuka, kenapanya?" tanya Encik Razlan kembali. Wani pandang wajah bapanya kemudian ibunya.
"Muka masam macam baru lepas berenang dalam kolam cuka aje." Serentak Encik Razlan dan Puan Salmah ketawa mendengar kata-kata Wani.
"Kamu ni Wani ada-ada aje lah"
"Betullah umi. Umi pergi tengok sendiri. Ada ke dia cakap Wani stalk dia, Wani mengintai sikit aje kot. Bukan luak apa pun."
"Umi dengan abah dah siap jumpa tadi. Umi tengok okey aje budak Farish tu, kamu ni aje yang over-reacting.
"Baru kenal dah nak back up orang sebelah pulak." Wani bersuara perlahan.
"Jangan ingat umi tak dengar."
"Eh, umi dengar ya?" Wani tersengih, cepat-cepat dilentukkan kepalanya ke bahu Puan Salmah.
"Kamu tu Wani, cubalah macam perempuan sikit, ni rumah orang nak main terjah aje."
"Umi ni, bila masa pulak Wani terjah rumah sebelah pulak?"
"Umi tak cakaplah rumah sebelah, rumah siapa-siapa ajelah. Cuba bersopan santun sikit, jadi perempuan sikit." Wani pura-pura menguap mendengar bebelan ibunya itu. Dia memandang bapanya yang berpura-pura membaca suratkhabar. Dia tahu kalau dah masuk hal perempuan, bapanya mesti malas hendak ambil port.
"Umur macam Wani ni kalau diikutkan dah boleh kahwin, dah boleh beranak-pinak." Wani angkat kepalanya dari bahu Puan Salmah, berkerut dahinya memandang.
"Apa kahwin-kahwin pula umi ni, cerita beranak-pinak pun keluar sekali. Belajar pun tak habis lagi." Wani gigit bibir bawahnya.
"Umi cakap ajelah. Umi teringin juga nak timang anak kamu. Tak kan nak tunggu umi dengan abah pakai tongkat baru kamu nak beranak."
"Wani suruh bela anak kucing tak nak!"
"Anak kucing buat apa? Hish."
"Suruhlah abang kahwin dulu," pantas Wani bersuara sambil bibir muncung menghala ke arah Yazir yang sedang menjinjit kasut. Terpinga-pinga Yazir dibuatnya apabila tiga pasang mata itu memandangnya tanpa kelip. Terasa dirinya seperti penjenayah yang baru dijatuhkan hukuman mati mandatori!
"Kamu ni nak pergi mana Yazir?" soal Puan Salmah. Wani di sebelah angkat ibu jari tangan kanannya tinggi-tinggi. Dia perlahan-lahan bangun dari sofa.
"Abang nak tengok tu dengan bakal menantu umi," ujar Wani sebaik melangkah anak tangga pertama yang menuju ke tingkat atas. Yazir menjegilkan matanya mendengar kata-kata Wani.
Memang tak boleh harap punya budak!
"Apa yang Wani cakap tu Yazir?" Sayup-sayup kedengaran suara Puan Salmah bertanya. Wani tahan perut gelihati, langkah kakinya dipercepatkan terus meluru masuk ke biliknya dan merebahkan tubuhnya di atas katil. Tersengih dia dibuatnya apabila mengingati wajah abangnya tadi.
'Hah, padan muka. Ada hati nak cut off wifi sangat.'
Wani ketawa panjang. Dia kemudian cuba memejamkan matanya, rasa mengantuk bagai tidak boleh ditahan lagi. Baru sahaja dia hendak terlelap, tersentak dia dengan bunyi bising dari rumah sebelah. Giginya diketap menahan geram.
'Pindah masuk barang aje kot tapi kau punya bising macam nak buat shopping mall 40 tingkat,' Gerutu hati Wani. Dia melangkah malas ke tingkap biliknya, langsir disingkap dan kepala dijengah ke bawah. Kelibat Farish masih boleh dilihatnya, Wani mencebik bibir menyampah.
'Aku nak tidur pun tak senang!'
Malam itu, ketika Wani sedang menolong Puan Salmah menyiapkan makan malam, sayup-sayup kedengaran suara orang memberi salam. Wani pandang wajah ibunya. Puan Salmah diam, pisau di tangannya pantas diletakkan di atas meja.
"Habiskan potong tembikai tu, umi pergi tengok siapa."
Wani sekadar mengangguk.
"Masuklah, buat macam rumah sendiri. Pakcik kamu tengah sembahyang." Kedengaran suara Puan Salmah menjemput seseorang masuk. Wani mengerut dahi dalam masa yang sama cuba mengamati suara tetamu tersebut dan akhirnya dia melangkah meninggalkan dapur dan menghampiri ruang tamu. Giginya diketap kuat apabila melihat tetamu yang datang itu adalah Farish.
"Kamu nak bawa ke mana pisau tu Wani?" tanya Puan Salmah apabila melihat pisau tajam menghunus di tangan Wani.
'Nak tikam mamat tu,' jawab Wani dalam hati.
"Dia datang buat apa?" tanya Wani curiga.
"Abah jemput dia makan malam dengan kita," jawab Puan Salmah, bekas makanan ditangannya dihulur kepada Wani.
"Isi ni dalam mangkuk."
Wani menyambut bekas di tangan ibunya dengan anak matanya masih memandang Farish yang sedang duduk di ruang tamu.
"Dahlah tu. Pukul berapa nak hidang makan malam ni," suara Puan Salmah dari dapur. Kelam-kabut Wani dibuatnya apabila mendengar suara ibunya.
"Rasalah masak lemak ni, makcik." Farish bersuara sambil menceduk masak lemak ayam yang dibawanya tadi ke dalam pinggan Puan Salmah.
"Kamu buat ke?" tanya Puan Salmah. Farish tersenyum dan kemudian mengangguk.
"Pandainya, kalau si Wani ni bukan kata masak lemak, goreng telur pun hangit lagi," kata-kata Puan Salmah disambut tawa Farish dan Encik Razlan. Yazir yang duduk berhadapan dengan Wani juga tidak dapat menahan ketawa. Wani pula, merah wajahnya menahan malu dan geram. Langsung hilang kata dan apabila melihat senyum sinis di bibir Farish, hatinya bertambah sakit.
"Hm..sedaplah Farish. Dah boleh buka kedai ni," Puji Encik Razlan pula sebaik masak lemak ayam itu dijamahnya. Farish tersenyum mendengar pujian itu. Matanya melirik memandang Wani yang tunduk memandang pinggan, langsung tidak mahu memandangnya.
"Wani, kamu tak nak rasa ke? Nanti boleh belajar masak dengan Farish tengah-tengah cuti sem macam ni, daripada asyik mengadap laptop aje. Malulah Farish yang lelaki ni boleh memasak sesedap ni." Puan Salmah tidak habis lagi memuji, membuatkan Wani bertambah meluat. Satu persatu wajah di meja makan itu diperhatikannya. Semuanya seperti sedang menikmati makan malam yang menyeronokkan kecuali dirinya dan apabila matanya berhenti di wajah Farish, rasa menyampah terus membara.
"Bajet sangat!" suara Wani tanpa sedar suaranya cukup jelas didengari semua yang berada di meja makan itu. Farish berhenti mengunyah, begitu juga Encik Razlan, Puan Salmah. Yazir membuntangkan matanya.
"Bajet apa Wani?" tanya Encik Razlan.
Wani gigit bibir, wajah terasa panas membahang. Semua pandangan berpusat kepadanya. "Er..bajet..bajet 2016. Bila agaknya PM kita nak bentangkan bajet 2016." jawab Wani tersekat-sekat dan dia perasan pandangan mata Farish yang agak sinis. Sumpah, tiba-tiba dia rasa dirinya mengecil macam Alice dalam cerita Alice In Wonderland, cuma masalahnya, Farish bukanlah Mad Hatter berambut merah seperti Johnny Deep yang kelakar.
********
"Assalammualaikum umi, abah." Yazir menarik kerusi, lalu duduk.
"Waalaikummussalam." Encik Razlan dan Puan Salmah menjawab hampir serentak.
"Adik kamu mana?"
"Entah. Bilik dia bertutup lagi," jawab Yazir sambil tangan sudah mencapai seketul karipap.
"Dah baca doa makan ke tu?" tegur Puan Salmah apabila dilihatnya Yazir terus memasukkan separuh karipap ke dalam mulutnya. Yazir tidak jadi mengunyah.
"Dah lah umi. Takkan lah baca doa sampai orang sebelah boleh dengar."
"Hah cakap pasal orang sebelah, hantarkan Farish karipap ni sikit. Pulangkan bekas dia malam tadi." Puan Salmah menolak bekas makanan itu di hadapan Yazir. Terkebil-kebil Yazir memandang ibunya.
"Ala umi ni. Suruhlah Wani." Yazir cuba menolak.
"Batang hidung adik kamu pun umi tak nampak. Hantarkan sekarang, boleh juga dia buat sarapan."
"Tu dia." Yazir tuding jari telunjuk ke arah Wani yang sedang menguap panjang.
"Tunjuk-tunjuk apa ni?" Wani tarik kerusi sambil menjeling tajam ke arah Yazir.
"Dah mandi ke belum ni?" tanya Encik Razlan yang serta-merta mematikan jelingan Wani.
"Dahlah, abah. Wani tertidur lepas subuh tadi." Wani sengih.
Encik Razlan menggeleng. Kalau dilihat perangai anak perempuannya itu, memang sampai ke tualah, tiada siapa yang sudi hendak jadikan isteri.
"Wani pergi hantar ni." Yazir tolak bekas makanan di hadapannya.
"Apa ni?" Wani sikit terpinga-pinga, dipandang wajah Yazir kemudian ibunya.
"Hantar rumah sebelah," jawab Yazir pendek.
"Wani tolong hantarkan karipap tu untuk Farish." Puan Salmah pula bersuara. Wani cuba menggeleng tetapi, entah macam mana dia melakukan perkara yang sebaliknya, dia mengangguk tanda setuju.
"Hantar sekaranglah," suruh Yazir.
Wani menjegil mata, dia bingkas bangun, bekas makanan itu dicapai. Dia melangkah dengan malas. Keluar sahaja dia dari pintu, kakinya dijengket meninjau rumah sebelah. Kereta Toyota Cambry milik Farish masih ada di tempat letak kereta.
'Letak kat atas tembok ni aje tak boleh ke,' Wani berkira sendiri.
"Assalammualaikum." Wani memberi salam agak kuat selepas loceng di pintu gate ditekan beberapa kali. Senyap.
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam." Sayup kedengaran suara Farish menjawab salam. Pintu kaca dibuka agak luas, dia melangkah menghampiri Wani yang berdiri masam di luar gate.
"Ni umi bagi." Wani pandang wajah Farish sekilas sebelum dia tunduk memandang ke bawah. Dia dengan tidak semena agak gementar melihat penampilan tatkala lelaki itu menghampiri, dengan kemeja biru laut dan seluar putih gading, Farish kelihatan begitu menarik.
'Gila handsome mamat ni. Apasal malam tadi aku tengok biasa-biasa aje.'
"Apa ni?" tanya Farish sebaik membuka pintu gate.
"Karipap." Pendek Wani menjawab. Sebaik bekas bertukar tangan, dia cepat-cepat melangkah.
"Thanks," laung Farish, dia hanya memerhati Wani yang terus beredar tanpa menoleh lagi. Dia menjengah di sebalik tembok, dia dapat melihat dengan jelas Wani berlari masuk ke dalam rumah.
'Weird.'
Farish menggeleng kecil.
"Umi jangan suruh Wani hantar apa-apa dah kat rumah sebelah," suara Wani tiba-tiba sebaik melintas di meja makan, dia terus melangkah ke tingkat atas. Encik Razlan dan Puan Salmah berpandangan antara satu sama lain. Yazir sedang menikmati mee goreng turut berhenti mengunyah.
"Anak awak tu dah kenapa? Tak ada angin tak ada ribut, asyik nak moody aje?" tanya Encik Razlan.
"Entahlah abang. Saya tengok macam dia tak sukakan si Farish tu."
"Budak tu baru pindah semalam, macam mana boleh tak suka pulak. Tak faham saya dengan budak-budak sekarang." Encik Razlan geleng kepala. Puan Salmah angkat bahu.
Wani baring atas katil. Wajah Farish menerpa tiba-tiba. Perutnya tiba-tiba menjadi senak. Dia memejamkan mata, hatinya gelisah.
'Aku suka dia ke?'
Wani ketap bibir gugup.
'Gila apa nak suka dia. Lelaki macam Hazim tu barulah taste aku.'
Wani semakin menggelabah.
**********
Farish meletakkan bekas makanan yang berisi karipap itu di atas meja. Dia duduk dan tangannya mencapai telefon bimbitnya. Mesej yang baru diterimanya dibaca dengan senyuman bergaris di bibirnya. Farish letak semula telefonnya di atas meja, karipap di dalam bekas biru itu dicapai. Tatkala karipap itu menyentuh bibirnya, terus dia terbayang wajah Wani. Gadis cantik berkulit putih merah itu persis gadis cina cuma, matanya agak besar. Farish akui, memang Wani boleh dikategorikan sebagai gadis yang cantik, mungkin cuma perwatakannya agak kebudak-budakkan.
Sampai sahaja di pejabat Farish menghampiri meja setiausahanya, Tiana. Gadis bertudung satin merah itu segera bangun apabila melihat Farish.
"Selamat pagi Encik Farish."
"Pagi. Tiana, hmmm..."
"Ada apa Encik Farish?"
"Tolong batalkan appointment saya dengan wakil Dhaz Holding petang ni. " jelas Farish.
"Encik Farish ada jumpa client lain ke petang ni."
"Tak cuma, personal matter," ujar Farish sambil melangkah menuju ke biliknya. "And one more...." Tiana yang baru hendak duduk, segera bangun semula.
"Buatkan kopi pekat sikit untuk saya. Saya tak dapat tidurlah malam tadi."
"Biasalah tu Encik Farish, rumah baru. Ambil masa nak sesuaikan diri."
"Mungkin juga." Farish senyum hambar dan mengatur langkahnya semula menuju ke bilik pejabatnya. Sebaik meletakkan beg berisi laptop di atas meja, Farish melangkah ke arah tingkap kaca di sudut kiri pejabatnya. Permandangan yang berlatarbelakangkan KLCC itu sentiasa menjadi pilihannya setiap pagi. Ketika itulah wajah Wani menerpa kembali. Kelakar pula apabila teringatkan kejadian dia menyergah Wani petang semalam. Itu adalah tindakan spontan lantaran, dia sendiri agak terkejut apabila kepala Wani tersembul di sebalik tembok secara tiba-tiba. Riak wajah Wani ketika memang priceless dan sudahnya sampai ke malam gadis itu melancarkan perang dengannya dan niat hendak meminta maaf tidak kesampaian.
Petang itu selesai sahaja urusan di pejabat, Farish pulang awal ke rumah kerana banyak lagi barang yang tidak berkemas. Sebaik dia memberhentikan kereta di laluan masuk rumahnya, telefon bimbitnya berdering.
"Hello. Waalaikummussalam. I just reached home." Farish menjawab dengan senyuman meleret di bibirnya. Sayup-sayup kedengaran tawa di hujung talian.
"It's still early over there right?" tanya Farish sambil jam di pergelangan tangan kanannya dikerling.
"Five am. What makes you up so early?"
Farish tiba-tiba menangkap bunyi di sebalik tembok rumahnya, dia berjalan menghampiri kemudian menjengah ke sebelah. "Hold on." Farish bersuara kepada pemanggilnya dan ketika itu dia melihat dengan jelas kepala seseorang di sebalik tembok.
"Ehem!" Farish berdehem kuat.
"Opocot kau!" Wani menjerit.
"Stalk apa?" Farish angkat kening. Wani terkebil-kebil tanpa suara.
"Stalk apa pula, orang cari anak kucing lah."
"Sejak bila pula anak kucing pandai panjat tembok" Farish sengaja menekan perkataan anak itu. Dia memandang Wani agak tajam.
"Ni anak kucing hutanlah, bukan kata tembok, tingkap, bumbung semua dia panjat." Wani juih bibir menyampah.
"Eloklah tu, tuan dengan anak kucing sama spesis suka panjat tembok rumah orang," sindir Farish selamba.
"Tak percaya sudah. Saya cari anak kucing saya sebelah sana pula." Cepat-cepat Wani memalingkan badannya. Berdebar-debar pula hatinya apabila melihat wajah Farish lama-lama.
"Kamu cari apa kat luar tu Wani?" Puan Salmah tiba-tiba menjengah di muka pintu. "Cari lala," jawab Wani perlahan, dia sempat menoleh memandang Farish yang masih berdiri di situ.
"Lala apa?"
"Lala kucing kita lah."
"Bila pula kita ada bela kucing." Kata-kata yang keluar daripada mulut Puan Salmah umpama meteor yang jatuh dari langit dan menghempap kepala Wani sehingga pecah. Wajah Wani sudah merah.
"Daripada kamu berkhayal bela kucing kat luar tu, baik tolong umi masak," ujar Puan Salmah sebelum kembali ke dalam rumah. Farish ternyum simpul mendengar kata-kata Puan Salmah.
"I think you better get inside and learn how to cook. Senang nak kahwin nanti." Perli Farish dengan senyuman sinis. Wani ketap bibir kuat.
"Hello." Farish meletakkan kembali telefonnya di telinga. Senyap. Dia pantas melihat skrin, rupanya talian sudah diputuskan. Dia menjengah semula di sebalik tembok. Wani sudah tiada di situ.
Rentetan dari kejadian itu, Wani tidak lagi keluar dari rumah, malunya kepada Farish hanya Allah yang tahu. Akibatnya dia hanya terperuk di dalam rumah, kerjanya dari pagi sampai ke malam adalah mengadap laptop.
"Orang sebelah tak ada ke, umi?" tanya Wani di meja makan selepas tiga minggu kejadian yang memalukannya itu. Encik Razlan tepat memandang Wani, dia kemudian memandang isterinya.
"Tanya Farish kenapa ni?"
"Tiba-tiba aje tanya Farish , ada apa-apa ke?" Yazir pula bertanya, terangkat-angkat keningnya tanda curiga.
"Saja aje tanya, tengok dah dua hari rumah dia gelap aje."
"Mana Wani tahu rumah dia gelap?" tanya Encik Razlan curiga. Wani mengerut dahi.
"Dah rumah sebelah, tak kanlah Wani tak perasan," jawab Wani selamba.
"Pelik pula bunyinya macam kamu perhatikan rumah dia 24 jam aje," perli Encik Razlan. Ada senyum sumbing di bibirnya.
"Tak adalah." Wani menjawab perlahan, nasi di dalam mulutnya bagai sukar ditelan.
"Ada hati kat Farish lah tu." Selamba Yazir bersuara.
Hampir hendak tersembur nasi yang dikunyah Wani. Matanya dijegil sebesarnya. "Abang jangan nak memandai."
"Memandai apa? Memang betul kan?"
"Tahu tak apa hukum orang memfitnah?" Wani gigit bibir.
"Ishh, korang berdua ni," sampuk Puan Salmah dan kemudian menyambung, "Dia balik rumah dia."
"Rumah dia? Sebelah ni bukan rumah dia ke?" Wani pandang wajah ibunya tidak berkelip.
"Sebelah ni rumah parents dia, seminggu dua ni family dia pindah masuk. Farish cuma tolong-tolong masukkan barang sebelum family dia sampai. Family dia dah 15 tahun duduk Kanada. Farish cakap bapa dia tiba-tiba nak balik Malaysia pula," terang pula Encik Razlan panjang lebar.
"Yeke." Suara Wani kedengaran kecewa.
"Masa dia ada kamu asyik nak masam muka aje, bila dah tak ada dicari-cari. Umi suka dengan Farish tu, hormat orang tua, kerja pun elok. Kalau jadi menantu lagi umi suka."
Muka Wani sudah bertukar merah lebih cepat dari traffic light. Dia pandang wajah ibunya kemudian bapanya. Sumpah dia malu. Entah macam mana dia terbayangkan Farish turut duduk di meja makan itu sambil tersenyum sinis. Hatinya tiba-tiba jadi tidak keruan.
Selesai sahaja solat Isyak, Wani terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Baru sahaja dia hendak terlena, telinganya menangkap getaran. Segera dicapai telefon yang diletak di atas meja di tepi katil. Ada mesej.
"Assalammualaikum." Pendek sahaja mesej yang diterima dari nombor yang tidak dikenalinya itu. Wani mengerut dahi.
"Siapa ni?" balas Wani, telefon diletak kembali di atas meja. Hatinya berdebar-debar.
10 minit, 15 minit, 20 minit...
Telefon bergetar lagi, bukan main laju tangan Wani menggapai telefon. Mesej yang diterima terus dibuka.
"Assalammualaikum. Bukan ke lagi elok kalau jawab salam ni dulu." Terpana Wani seketika membaca bait kata itu. Malas berteka-teki dia segera mendail nombor tersebut. Tiga kali mendail baru panggilannya diangkat.
"Assalammualaikum Wani," suara di hujung talian memberi salam. Wani terdiam agak lama kerana dia cukup mengenali suara itu. Wajah pemilik suara itu bagai menari-nari di ruang matanya. Wajah Farish yang tersenyum sinis.
"Waalaikummussalam," jawabnya perlahan, dia mula gugup.
"Mana dapat nombor Wani?"
"Minta dengan umi."
"Kenapa minta dengan umi?"
"Saja."
"Mesej Wani kenapa?"
"Saja." Suara Farish di hujung talian kedengaran agak sensual di telinga Wani. Jantungnya kian kuat debarannya. Nasib baik Farish tidak berada di hadapannya kalau tidak, mungkin dia sudah berlari keluar dari biliknya itu.
"Kenapa diam?" tanya Farish. Wani terus hilang kata. Liur terasa kesat.
"Wani..," panggil Farish.
"Ya," jawab Wani lembut. Dia sendiri terkejut dengan perubahan suaranya.
"Dah jumpa lala?" tanya Farish. Wani spontan ketawa. Terus kejadian memalukan itu bagai terpapar di ruang matanya.
"Wani." Panggil Farish lagi, suaranya kedengaran semakin sensual. Wani diam tidak menjawab. Gugup dengan situasi ketika itu. Tiga minggu tidak melihat Farish, dia akui ada sekumit rasa rindu dengan lelaki itu.
"Perkenalan kita tak berjalan dengan lancar. Maybe we should start it all over. I have a confession to make maybe, i have a little crush on you." Wani hilang kata, wajahnya terasa membahang. Hatinya berbunga-bunga.
************
Wani pandang telefonnya. Rasanya sudah berbelas kali dia memeriksa telefonnya itu, kalau-kalau ada mesej yang masuk dan dia terus hampa. Sejak malam itu, Farish langsung tidak menghubunginya, langsung tiada mesej yang dihantarnya.
"Dah siap ke?" Puan Salmah menyapa. Wani menoleh dan kemudian mengangguk malas.
"Tak pergi tak boleh ke?"
"Jangan nak mengarut, jiran kita kan. Abah dah mesej ni."
"Seganlah umi."
"Nak segan apa, kan dah jumpa semalam."
"Dia segan dengan Farish aje tu umi." Yazir yang muncul entah dari mana, menyampuk
"Dah jom, jangan nak mengada-ngada." Puan Salmah pandang tajam bagai hendak tembus, Wani akhirnya mengalah.
Sebaik sampai, Wani terus duduk di kerusi yang agak tersorok. Ibunya sudah masuk ke dalam rumah manakala, abangnya sudah meluru ke meja buffet, lapar katanya. Mata Wani meliar mencari Farish di celah-celah tetamu yang hadir. Dia kecewa lagi.
"Hi, neighbour." Seseorang menyapa. Gadis comel yang menyapanya itu adalah jirannya barunya merangkap adik kepada Farish, Alissya.
"Hi, again." Wani senyum.
"Would you like to have a drink?," tanya Alissya dengan slang Amerika.
"No, thanks." Wani senyum.
"Are you waiting for someone?" Alissya terus bertanya.
"Assalammualaikum." Belum sempat Wani menjawab suara itu menerpa ke gegendang telinganya. Suara yang cukup dikenalinya. Farish.
"Waalaikumussalam." Wani menjawab perlahan.
Farish memeluk Alissya rapat ke badannya dan dahi adiknya itu dicium mesra. "Is she your girl?" tanya Alissya berbisik. Farish hanya tersenyum tidak menjawab kemudian pandangannya beralih kepada Wani.
"She suits you well," usik Alissya seraya mengenyitkan matanya.
"Catch you later, have fun okay." Alissya melambai ke arah Wani sebelum melangkah meninggalkan mereka berdua sendirian.
"Dah lama sampai?" tanya Farish seraya duduk di sebelah Wani.
"Baru aje."
"Comel hari ni," puji Farish.
"Siapa yang comel?" Wani pura-pura bertanya sedangkan hatinya sudah berbunga-bunga cinta. Farish pandang wajah Wani sebelum pandangannya beralih ke luar kawasan rumah.
"Tiang lampu tu yang comel, kalau dia pakai baju lagi comel," jawab Farish selamba. Wani tarik muka.
"Kahwin aje dengan tiang lampu tu." Sinis Wani menyindir.
"Hmm?" Farish angkat kening, senyuman kemudian terukir di bibirnya.
"Wani nak kahwin dengan Farish ke?" Farish tersenyum nakal. Wajah Wani makin merah membahang, dia angkat kepala dan memandang tepat ke mata Farish.
"Tak nak." Agak lama matanya dibiar bertentang dengan mata coklat milik Farish sebelum dia bingkas bangun namun, tangannya sempat digapai Farish.
"Lepaslah, nanti orang nampak," suara Wani cemas, tangannya kian kemas digenggam.
"Don't leave. I ada benda nak cakap," ujar Farish seperti merayu. Matanya lekat terus di wajah Wani. Bagai tidak mahu hilang dari pandangannya walau sesaat.
Wani mengetap bibir. Dia gugup dan pada masa yang sama risau jika ada mata yang memerhati terutamanya, Yazir.
"I miss you." Kaki Wani terasa tidak memijak tanah apabila kata itu keluar dari bibir Farish. Agak lama dia terdiam sebelum dia tiba-tiba melangkah setapak mendekat, tangannya yang masih digenggam Farish terasa menggeletar.
"Seminggu awak hilang. Tak call, tak mesej." Wani akhirnya melepaskan apa yang terbuku di dada.
"I was busy, i'm sorry." Farhan bangun, dia merapatkan bibirnya ke telinga Wani.
"I miss you and i think i'm in love with you." Farish membisikkan kata-kata itu ke telinga Wani.
Wani bagai tidak mampu bersuara, terasa dirinya terbuai melayang. Hembusan nafas Farish yang menyapu lembut di sebelah wajahnya bagai memutuskan nafasnya.
Wani menarik nafas sedalam-dalamnya dan akhirnya bersuara. "I think i'm in love with you too," Ada senyuman terukir di bibir Wani sebaik kata-kata itu terluncur dari bibirnya.
Farish tersenyum. Dia kemudian mendongak memandang langit gelap, yang ketika itu hanya kelihatan bintang-bintang kecil yang menjadi penyeri.
Ya, Allah Pencipta Segala Alam, engkau jadikanlah dia penyeri hidupku seperti mana engkau jadikan bintang sebagai penyeri langit kelam di waktu malam.
"Farish Idham bin Farid Arrifin." Farish tersentak dari lamunannya. Matanya memandang tepat lelaki berkopiah yang sedang menggenggam tangannya itu. Pandangannya kemudian terarah kepada Wani yang duduk bersimpuh berhampirannya dengan berpakaian lengkap serba putih, sangat manis bertudung. Kedua ibubapanya dan adiknya lengkap berpakaian sedondon warna krim.
"Kita mulakan akad sekarang ya," Tok kadi bersuara lagi. Farish mengangguk perlahan. Hatinya berdebar, dia menarik nafas sedalamnya dan kemudian mengukir senyuman penuh makna. Bismillahirrahmanirrahim...
No comments:
Post a Comment