Sunday, August 9, 2015

Cerpen - Gadis Genit Berbaju Kurung

         

            Aku memandang gadis genit berbaju kurung itu. Dia duduk membatu di kerusi kayu coklat itu sejak dua jam yang lepas. Beg pakaian di ribanya dipeluk kuat. Wajahnya cemas setiap kali ada yang duduk melepaskan lelah di sebelahnya. Gadis genit berbaju kurung itu memandang aku buat seketika dan kemudian menunduk semula. Dia bagai berada di dunianya sendiri. Kelibat orang yang lalu lalang di stesen bas itu sudah tidak dihiraukan lagi. Melihat dia membuatkan aku teringatkan seseorang. Seseorang yang dekat dengan aku.

          "Adik nak pergi mana?"

          Aku menyapa sebaik aku menghampiri. Dia mendongak memandang aku yang berdiri di hadapannya. Mulutnya terkunci. Tubuhnya membeku.

          "Adik nak pergi mana?" Aku bertanya lagi. Aku duduk di sebelahnya. Memandang wajah muramnya. Dia terus diam. Beg pakaiannya dipeluk makin erat. Aku orang asing, aku tahu dia curiga atau mungkin kurang senang disapa.

          "Adik dah makan?" Aku bertanya, supaya dia selesa. Dia menggeleng tanpa menoleh ke arahku. Matanya masih tunduk memandang lantai. Kekotoran yang terhampar di situ langsung tidak menyakitkan matanya.

          "Gerai kakak di sana. Kakak belanja adik makan," Dia mengangkat wajahnya dan matanya melihat arah jari telunjukku dituding. Dia memandang aku sayu. Senyuman ikhlas aku lemparkan kepadanya. Reaksinya masih sama. Wajahnya tetap muram.

          "Jom adik." Aku bangun dan memandang dia yang sudah kembali menunduk. Bahunya aku sentuh lembut. "Adik, orang kata rezeki jangan ditolak," Pujukku lagi. Dia menggeleng lemah. Agak lama aku berdiri memandangnya sebelum aku duduk semula. Dia menoleh memandang aku.

          "Saya tak tahu nak pergi mana, kak," Akhirnya dia bersuara. Suaranya lembut dan perlahan, hampir tidak didengari aku dek hiruk-pikuk suara manusia-manusia yang mungkin juga seperti gadis genit berbaju kurung itu. Manusia-manusia yang sesat dan hilang arah.

          "Adik dari mana?" Aku bertanya. Dia menoleh memandangku. Matanya sayu memandang. Dia cuba tersenyum namun, kelihatan hambar di mataku. Senyumannya seolah mati, mungkin sudah lama dia tidak tersenyum.

          "Saya dari kampung, kak. Sekarang saya tak tahu mahu ke mana. Kota ini begitu asing." Dia menjawab perlahan. Ada getar di dalam suaranya.

          "Datang KL, buat apa? Ada saudara-mara? Ada kerja?" Bertalu-talu aku bertanya. Aku lihat dia menggeleng berkali-kali. Gelengan yang aku tidak tahu untuk soalan aku yang mana satu. Atau dia menggeleng kerana dia keliru.

          "Saya lari dari rumah." Ayat yang keluar dari mulutnya, menyentakkan aku. Tidak aku sangka di sebalik wajah polosnya dia betah lari meninggalkan keluarga.

          "Kenapa? Ibu adik sekarang mesti susah hati."

          Dia memandang aku sejenak sebelum segaris senyuman sinis terbit di hujung bibirnya. Dia tersenyum tetapi, bukan senyuman ini yang aku harap. Bertahun aku mencari rezeki di perhentian bas di tengah kota ini menjual goreng-gorengan, membuatkan aku belajar mengenal manusia. Aku belajar mengenali melalui tingkah laku mereka, melalui cara mereka bertutur, melalui cara mereka tersenyum.

          "Tiada siapa pedulikan saya, kak. Saya pembawa sial."

          Dia melemparkan pandangannya ke arah orang ramai yang lalu-lalang di hadapan kami. Agak lama matanya dibiarkan tanpa arah, dia kemudian memandang aku semula. Bibirnya bergerak-gerak bagai hendak mengatakan sesuatu namun, suaranya bagai tersekat di kerongkong. Dahinya sedikit berkerut memandang aku.

          "Kenapa, dik?" Aku bertanya. Aku ingin tahu segalanya tentang dia.

          "Kakak percaya takdir?"

          Aku mengangguk dan aku lihat ada senyum sinis terbit di bibirnya lagi. Seperti mengejek aku. Mataku memandang tepat ke dalam anak matanya yang berwarna coklat. Dia langsung tidak cuba melarikan pandangan matanya. Bagaikan membiarkan mata aku merobek ke dalam, ke dasar.

          "Takdir saya terlalu kejam kak."

          Aku terdiam seketika sebelum bersuara " Jangan salahkan takdir. Kita boleh mengubah takdir kalau kita mahukannya."

          "Kalau saban hari dicerca, dihina, digelar pembawa sial, salah siapa kak? Salah saya?" Rintihnya sayu. Aku menaik nafas dan melepaskannya. Aku hilang kata. Tiada jawapan untuk soalan yang diajukannya. Wajahnya aku pandang sekilas.

          "Siapa patut saya salahkan? Saya cuma hendak lari dari semua tu kak. Jiwa saya dah lama terseksa,"

          "Kakak tiada hak untuk menilai kehidupan adik tapi, ini bukan caranya. Lari dari rumah tak akan menyelesaikan masalah," ujar aku perlahan. Wajahnya aku lihat, masih seperti tadi. Suram dan sedikit keliru.

          "Saya cuma mahu bebas, kak."

          Kata-kata gadis itu membuatkan ingatan aku mengimbau apa yang berlaku hampir lima tahun lepas. Wajah seseorang muncul. Airmata yang mengalir ketika aku melangkah pergi, masih terbayang kuat di fikiran aku.

          "Saya nak kerja di Kuala Lumpur, mak. Saya nak berdikari. Saya nak bebas." Aku memandang wajah mak yang kelihatan sedih. Wajah tuanya aku pandang lama sebelum aku bergegas bangun mencapai beg di tepi pintu.

          "Kamu dah tak sayang mak ke? Siapa nak jaga mak kalau kamu tak ada?"

          Aku pandang wajah mak lagi. "Abang Sani ada. Sebelah rumah aje, mak. Lagipun, tak kan mak nak saya duduk kampung ni selama-lamanya. Mak tengok anak makcik Mah tu, kerja KL balik sini dah berkereta. Duit banyak. Mak tak bangga kalau saya macam anak makcik Mah tu."

          "Mak tak harap semua tu. Mak cuma nak kamu."

          "Saya dah besarlah, mak," bentak aku kasar. Aku perasan ada manik jernih menitik di pipi tua mak.

          Aku sedikit tersentak dengan bunyi hon bas yang berhenti di bahu jalan. Aku menghela nafas panjang. Wajah tua mak terus menghantui minda aku. Rindu mulai membuak.

          "Adik, bandar besar bukan tempat yang sesuai untuk adik lari dari semua itu. Adik tak boleh jangka apa yang bakal menanti adik nanti."

          "Saya dah bersedia," jawabnya yakin kemudian menyambung, "Apa yang saya bakal tempuh mungkin tidak seteruk seperti yang saya pernah lalui sebelum ini. Takdir saya mungkin berubah." Dia kemudian bangun, begnya disandang di bahu kanannya.

          "Kakak jangan risau, ini jalan yang saya pilih." Dia tersenyum dan terus berjalan meninggalkanku. Itulah kali terakhir aku melihat gadis genit berbaju kurung itu.

          Aku tersentak apabila bahuku ditepuk agak kuat dari belakang. Sally tersenyum sebaik aku menoleh. Sally sudah aku kenali hampir lima tahun. Dia sering aku temui di lorong-lorong kecil atau di hadapan kedai usang, menanti seseorang dengan pakaian seksinya, dengan rokok terselit di bibir merahnya. Aku tahu apa pekerjaannya tapi, aku tidak pernah bertanya.

         "Ada apa ni, kak?" tanya Sally, suaranya garau. Matanya meliar memandang ke arah lorong sempit yang sudah sesak dikerumuni orang ramai itu. Siren polis dan ambulan mula kedengaran.

         "Ada orang mati," jawab aku kemudian menyambung, "Kena bunuh."

         Sally mengetap bibir. Riak wajahnya serta-merta berubah, dia bersuara sayu, "Kesiannya."

         "Ini bahagian dia," jawab aku dalam ketar.

         "Lelaki ke perempuan?" tanya Sally ingin tahu.

         Aku memandang Sally kemudian ke arah mayat yang tertutup dengan plastik hitam itu. Lama mata aku di situ, memandang tangan yang terkulai tanpa roh, memandang beg pakaian di tepi lorong yang sudah terkeluar isinya. Tanpa sedar aku menangis. Airmata terasa hangat mengalir di pipiku.

         "Kak." Sally menyentuh bahu aku. "Kenapa, kak? Kak kenal ke?" Bertalu-talu Sally bertanya. Aku terus diam.

         "Kakak tak sempat nak kenal dia."

         Sally mengerut dahi memandang aku. Keliru.

         "Kak balik dulu, Sally." Aku tepuk lengan Sally perlahan. Tidak sanggup untuk aku berada lama di situ walaupun, aku sudah biasa dengan kejadian sebegitu. Cuma, kali ini hati aku bagai dijerut rasa. Aku membiarkan gadis genit berbaju kurung itu memilih jalannya sendiri tanpa aku cuba menghulur tangan membantu dan akhirnya dia tewas.

         Aku menyeluk saku seluar jeansku. Telefon bimbit buatan China yang aku beli tiga tahun lepas, aku keluarkan. Aku dail nombor yang sudah lama aku abaikan tapi, aku masih ingat nombornya. Aku masih belum lupa siapa pemiliknya.

        "Hello." Itu perkataan yang keluar dari mulut aku apabila panggilan aku diangkat pada deringan kedua. Ada suara tua di hujung talian, menjawab dengan diiringi batuk-batuk kecil.

        "Asaalammualaikum, mak," suara aku sayu. Airmata aku hampir mengalir. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin sedih dengan apa yang berlaku kepada gadis genit berbaju kurung atau mungkin aku terlalu rindukan mak.

        "Mak, angah rindu mak. Angah nak balik." Akhirnya aku menangis.

        Aku sudah puas bebas. Aku sudah puas mencari dunia. Aku ingin kembali.
   

No comments:

Post a Comment