Sunday, August 9, 2015

Cerpen - Cinta Separuh Milik

      

    
        Shaz diam membisu. Wajahnya merah menahan rasa yang bergumpal di dadanya, bibir bawahnya diketap agak kuat. Apa yang keluar dari mulut ibunya tadi bagai merentap segala kebahagian yang dikecapinya.

          "Ibu, zaman sekarang mana ada kahwin, family yang aturkan" Akhirnya dia bersuara, matanya tepat memandang ibunya.

          Puan Zetty yang duduk bersilang kaki di sofa empuk itu memandang sekilas wajah anaknya. Keningnya sedikit terangkat bagaikan isyarat mahu mendengar lagi apa yang bakal keluar daripada mulut Shaz. Dia cuba mengukir senyuman namun, ternyata kelihatan hambar dek terpandang wajah kelat anaknya itu.

          "Ibu rasa, raja-raja di Malaysia ni masih amalkan." Puan Zetty tidak mahu mengalah.

          "Ibu, itu raja. Shaz ni siapa? Bukan anak raja, bukan cucu raja, cicit pun bukan." Shaz juga tidak mahu mengalah, tidak sesekali. Entah lelaki mana yang menjadi pilihan ibunya. Gerun apabila difikirkannya lagipun, mana hendak dicampakkan kekasih hatinya, Azril Hadi. Lelaki yang dikenalinya hampir setahun itu, cukup lengkap pakej untuk dijadikan calon suaminya. Ada kerjaya, ada rupa, baik.

          "Keputusan ibu muktamad. Hujung minggu ni rombongan meminang datang. Ibu tahu mana yang baik, mana yang buruk untuk anak ibu. Terima tanpa bantahan."

          "Ibu tahukan, Shaz bercinta dengan Azril."

          "Bercinta tak semestinya kahwin lagipun, dia tak sesuai jadi menantu ibu."

          Shaz tersentak daripada lamunan apabila pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Rentetan kejadian petang tadi turut hilang seperti buih-buih yang pecah di udara. Dia bangun menghampiri pintu dan sebaik pintu dikuak, tersembul kepala sepupunya, Diana menjengah.

          "Ala, my favourite cousin ni masam je kenapa?"

          Diana peluk Shaz erat.

          "You heard the news, right?" tanya Shaz apabila pelukan Diana terlerai.

          "Sebab tu Di datang ni."

          Mendengar kata-kata itu membuatkan Shaz melepaskan keluhan yang agak panjang, dia melangkah semula ke katilnya dan Diana mengekori dari belakang. Sampai sahaja di katil, tubuhnya direbahkan bagai melepaskan segala masalah yang terbeban di bahunya.

          "I have no choice," suara Shaz mendatar. Dia memandang Diana yang masih berdiri tanpa reaksi. Tangan Diana segera ditarik, membuatkan tubuh sepupunya itu terdorong ke hadapan dan terduduk di sebelahnya yang sedang berbaring.

          "Mak Ngah ada cakap apa-apa tak?" tanya Shaz yang merujuk kepada ibu Diana.

          "Mama tak tahu menahu hal pinang meminang ni. Dia pun macam terkejut tapi, tak tahu lah kalau mama ada sorok sesuatu."

          "Macam peliklah pula kalau Mak Ngah tak tahu."

          "Entah-entah mama pakat dengan Mak Lang nak jodohkan Shaz dengan along kot. Manalah tahu kan," telah Diana tiba-tiba.

         "Tolonglah. Zaman apa nak kahwin sepupu-sepupu ni." Bulat mata Shaz memandang Diana.

          "Hey, come on lah. Look at your mom lah, dia old-fashioned lagi kot. Same goes to my mom. Dia lagi suka bab kahwin-kahwin sepupu ni, senang nak kenduri katanya."

          "Tolonglah." Shaz menjuih bibir, terus dia terbayang wajah sepupunya, Darrel. Sepupunya itu memang kacak dengan wajah pan-asian dek perkahwinan campur antara Mak Ngahnya yang sudah tentu-tentu melayu dengan bapa Diana yang berasal dari Switzerland. Pasti anaknya nanti pun putih merah seperti kulit wajah Diana.

          "Hah, berangan!" sergah Diana apabila melihat Shaz yang diam dan kemudian tersenyum sumbing sendiri.

          "Mana ada."

          "Tapi, kalau Shaz jadi kakak ipar Di okay juga kan. Hahaha." Tersembur ketawa Diana membuatkan Shaz dengan spontan menjeling tajam. Lengan Diana terus ditampar kuat.

          "Sakitlah." Diana mengusap-ngusap lengannya. Tubuhnya segera direbahkan di sebelah Shaz, kepalanya ditoleh memandang Shaz yang tiba-tiba diam membisu. Melihat kerutan di dahi Shaz, dia bagaikan tahu apa yang bermain di fikiran Shaz.

          "Azril macam mana? Dia dah tahu?"

          "Tak tahu," jawab Shaz pendek, ada sayu di hujung suaranya.

          "So?"

          "I don't know. Shaz tak tahu macam mana nak beritahu dia, tak tahu macam mana nak handle masalah ni. Kusut."

          "Hey, entah-entah family Azril yang datang meminang kot." Diana bingkas bangun dan duduk mengadap Shaz. Kening kirinya dijungkit berkali-kali.

          "Dengar tak ni?" Diana menggoyang bahu Shaz apabila tiada reaksi diterimanya.

          "Bukan dia, ibu tak pernah sukakan Azril. Di pun boleh nampak macam mana ibu layan Azril tiap kali dia datang sini, kan." Shaz bangun dan melangkah ke arah meja soleknya, telefon bimbitnya dicapai dan dia kembali ke katilnya. Matanya lekat di skrin telefon membaca mesej masuk yang diterima daripada Azril.

          "Pelakon ada aje masa depan, ada aje pelakon di Malaysia ni yang kaya-raya. Family Azril sendiri pun bukan calang-calang kan?" Diana cuba menyedapkan hati Shaz.

          Sememangnya Azril seorang pelakon yang popular, melalui Shaz dia tahu yang Azril menerima tawaran lakonan yang lumayan saban bulan malahan, tawaran iklan juga tidak putus-putus diterimanya. Dia cukup yakin, Azril mempunyai ciri lengkap untuk dijadikan suami.

          "Shaz malas nak fikir apa-apa dah. Makin difikirkan, makin berat dirasakan benda ni." Telefon bimbit dicampak ke tepi, mesej Azril dibiarkan tidak berbalas. Shaz kembali merebahkan tubuhnya di atas katil, matanya dipejamkan dan muncul wajah Azril yang sedang tersenyum benar-benar meyesakkan jiwanya.

          Hujung minggu yang hadirnya tidak dinanti-nantikan oleh Shaz, tiba dengan cepat. Sejak dari pagi dia hilang selera makan malahan, pakaian yang dikenakannya turut serba tidak kena di matanya. Berita mengenai rombongan pinangan ini juga sudah diketahui Azril dan sudah tentu lelaki itu menerimanya dengan hati yang terluka. Dia sendiri terluka malahan mungkin, lukanya lebih parah daripada Azril sendiri.

          "This is kind a joke ke apa?" Azril ketap bibir.

          "Tak, sayang. Ni realiti. Ibu nak Shaz terima aje keputusan ni." Sayu suara Shaz memberi penjelasan. Tangan Azril dicapai lembut, Shaz bersuara lagi, "Shaz tak mampu nak bantah kata-kata ibu. Ibu dah nekad dengan keputusan ibu and i have no choice."

          Azril menarik tangannya daripada genggaman Shaz dan diseluk ke poket seluarnya. Dia memandang Shaz yang masih duduk di bangku yang mengadap tasik buatan itu. 

          "You do have a choice. This is your life. You have the right to say no and you didn't even say no, right? You just terima. You langsung tak nak pertahankan cinta kita ni, kan? You biarkan cinta kita terkubur atas desakan orang."

          "Orang yang you maksudkan tu, ibu Shaz. Dia yang lahirkan Shaz, besarkan Shaz. Adanya Shaz sekarang sebab dia. I couldn't just simply say no to my mom. Fahamilah i, Azril. I love you and will always do."

          "Don't simply say you love me but at the same time you terima pinangan orang lain. Tolong jangan mainkan perasaan i. I think, i better leave. Tak manis i duduk berduaan dengan bakal tunang orang."

          Shaz memandang Azril yang sudah mengatur langkah meninggalkannya. Tiada lagi ucapan sayang yang selalu diungkap Azril. Lelaki itu melangkah tanpa menoleh lagi. Airmata Shaz mengalir perlahan.
         
                               ************

          Sudah tiga bulan Shaz secara rasminya menjadi tunangan kepada lelaki yang langsung tidak dikenalinya, tanpa nama, apatah lagi mengenali wajahnya. Setiap kali dia bertanyakan hal tunangnya itu, ibunya pasti mengelak. Ada sahaja alasan daripada ibunya untuk mengelak menjawab setiap soalannya. Apabila hal itu diajukan kepada bapanya, jawapan bapanya cukup ringkas "Tanya ibu".

          Cincin yang tersarung di jarinya itu adalah simbolik kemenangan ibunya, dia kini berada di laluan kehidupan yang terbina mengikut kehendak ibunya. Berita pertunangannya juga menjadi gosip hangat yang diperkatakan di pejabatnya.

          "Hari ni tak keluar dating ke dengan encik tunang halimunan tu?"

          "Shaz, hati-hati. Manalah tahu tunang you tu serial killer ke."

          "Untung sebenarnya bertunang dengan orang halimunan ni, jimat duit kalau keluar dating sebab bayar untuk seorang aje."

          Sindiran demi sindiran dan dia sudah betah dengan semua itu.

          Shaz mengunyah perlahan kentang goreng yang sudah sejuk itu kemudian dia menyedut air coke yang sudah tinggal separuh di dalam cawan minumannya. Di kejauhan, mata Shaz menangkap kehadiran seorang lelaki yang sedang memerhatinya. Lelaki berkulit cerah dengan susuk tubuh sedikit tegap itu mengukir senyuman nipis tatkala pandangan mata mereka bertemu. Dahi Shaz berkerut.

          "Hey, tengok apa?" sergahan dari belakang agak mengejutkan Shaz, degupan jantungnya bagai lari temponya. Diana yang sedang berdiri, menahan ketawa melihat reaksi terperanjat Shaz itu. Tangannya kemudian pantas menarik kerusi di hadapan Shaz dan terus duduk. Kentang goreng di hadapan Shaz dicapai dan disumbat ke dalam mulutnya.

          "Perasan tak lelaki yang duduk kat meja hujung tu tadi?" tanya Shaz apabila kelibat lelaki itu hilang sebaik dia menoleh semula.

          "Lelaki apa?"

          "Lelaki pakai kemeja lengan panjang kotak-kotak warna biru, kulit cerah, good looking," terang Shaz ringkas. 

          "Di tak nampak, fries ni nampaklah." Diana tersengih.

          "Nevermind lah. So, birthday esok buat kat mana?"

          "Rumah aje, family kita aje. Mungkin along ada jemput a few of his friends kot lepas tu girlfriend dia."

          "Wow, Darrel dah ada girlfriend?

          "Nama dia Zara."

          "Good news tu."

          Shaz tersenyum mendengar berita itu, sekurang-kurangnya dia boleh melupakan seketika hal peribadinya sendiri dan sebenarnya dia sedikit demi sedikit sudah mula menerima hakikat yang bahawa dia kini adalah tunangan orang. Sejak dia mendekatkan diri dengan Allah dan mula mengenakan tudung, dia merasakan dirinya sudah sedikit tenang.

          "Lepas ni, teman Di beli baju ya."

          "Baju untuk esok ke?"

          "Tak juga sebab mama ada belikan dress semalam tapi, tengoklah macam mana. Mana tahu terjumpa yang cantik lagi ke?" Diana tersenyum lebar. Cawan berisi coke di hadapan Shaz dicapai dan disedut perlahan.

          "Mama cakap your wedding dah tetap tarikh. Is it?"

          Dahi Shaz berkerut sedikit.

          "Ibu tak ada cakap apa-apa pun."

          "You better ask maklang. Jangan sampai pengantin pun tak tahu tarikh nak kahwin. Nonsense." Sinis Diana menyindir. Dia masih tidak boleh terima perkahwinan yang diatur oleh keluarga. Baginya cinta melebihi segala. Dia tidak setuju dengan perkahwinan tanpa rasa cinta.

          Shaz sekadar mengangguk. Dia sudah malas hendak memikirkan perihal pertunangannya itu. Dia hanya membiarkan ibubapanya yang menguruskannya. Mereka lebih tahu, itu fikirnya.

             **********

          Majlis harijadi Diana yang ke-18 disambut dengan meriah memandangkan dia adalah anak bongsu. Lagipun, Diana memang sentiasa teruja setiap kali harijadinya muncul, pasti akan diraikan dengan meriah, dengan kek harijadi bertingkat bagaikan kek kahwin.

          Shaz duduk sendirian di meja yang sedikit ke belakang. Matanya sesekali meliar memandang sekeliling. Dia semenjak menjadi tunangan orang, memang sudah jarang menghadiri majlis-majlis sebegini kerana dengan statusnya sekarang, adalah wajar baginya menjaga tingkah lakunya. Lagipun, dia agak rimas ditebak soalan perihal tunangnya yang dia sendiri tiada jawapannya.

          "Hai," Darrel yang dari tadi memerhati Shaz, datang menyapa. Cawan berisi minuman di tangannya, diiletakkan di atas meja di hadapan Shaz. Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan Shaz.

          "So?"

          "So apa?" Shaz angkat kening.

          "How was life?"

          "Life was good, i guess," jawab Shaz perlahan antara dengar dan tidak. Darrel tersenyum mendengar jawapan Shaz. Matanya sempat mengerling wajah Shaz yang tampak cantik tanpa solekan itu. Mungkin inilah yang dikatakan seri bakal raja sehari.

          "Baguslah. Tadi nyaris tak camkan Shaz sebab dah pakai tudung. Makin cantik."

          "Jangan cakap kuat sangat. Nanti girlfriend Darrel dengar. Your girlfriend pun pun apa kurangnya," puji Shaz, matanya memandang gadis cantik yang sedang berbual dengan Diana di meja sebelah.

          "I have to admit that. She is pretty,"

          Shaz ketawa mendengar kata-kata Darrel itu.

          "Your wedding lagi tiga bulan kan?" tanya Darrel selepas tawa Shaz mati.

          "Hmm..that's what my mom told me." Shaz senyum.

          "Dah bersedia?"

          "Shaz dah bersedia lama dah. Dari hari pertama Shaz jadi tunang orang. Suka atau tak, somehow Shaz kena bersedia." jawab Shaz tenang. Matanya tiba-tiba menangkap susuk tubuh lelaki yang agak asing berdiri di meja buffet. Ingatannya bagai berputar ke waktu semalam, lelaki yang berkemeja kotak-kotak semalam agak serupa dengan lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu. Lelaki itu sedang memandangnya dengan segaris senyuman di bibir.

          "Siapa tu?" Shaz berpaling memandang Darrel.

          "Mana?"

          "Tu, yang dekat meja buffet tu."

          Darrel segera menoleh ke belakang dan kemudian bersuara, "Oh tu, Chairil. Kenapa?"

          "He looks familiar" jawab Shaz mendatar, matanya terus lekat di wajah lelaki itu. Memang lelaki itu agak mirip lelaki semalam atau mungkin pandangan mata waktu malamnya tertipu dengan lampu-lampu yang menerangi laman belakang kediaman tiga tingkat itu.

          "Shaz tak kenal dia, rasanya. He just came back from UK. He lives there since he was kid."

          "Darrel kenal dia macam mana?"

          "Masa belajar di sana. Dah lupa, Darrel belajar di Cambrigde?"

          "Oh my gosh. Shaz lupa." Shaz tersenyum dan ketika dia mengangkat kepalanya semula, lelaki bernama Chairil itu sudah tiada.

                                 ********    
 
          Kembalinya dari rumah Diana, Shaz segera mandi untuk menyegarkan badan. Selesai mandi dan mengerjakan sokat, Shaz segera mencapai telefon bimbit apabila dia menyedari ada kerdipan lampu biru di sudut kiri telefonnya. Ada mesej diterima daripada nombor yang tidak dikenalinya dengan mesej ringkas tertulis "Assalammualaikum."

          Mata Shaz merenung skrin telefon bimbitnya. Agak lama matanya melekat di situ sebelum dia meletakkan telefonnya di atas meja yang terletak di sebelah katil. Baru matanya hendak dipejamkan, dia terasa getaran kecil yang datang dari telefonnya.

          "Selamat malam, Shazlina." Mesej daripada penerima yang sama dibaca berkali-kali. Hatinya tertanya siapa gerangan yang menghantar mesej itu.

          "Siapa ni?"

          Akhirnya Shaz membalas mesej itu dan tidak sampai seminit, telefonnya bergegar lagi.

          "Chairil."

          "Who?" Shazlina pura-pura bertanya. Wajah lelaki yang dilihatnya di majlis Diana tadi terus menerpa fikirannya.

          "Kawan Darrel. Maaf menganggu."

          "Macam mana dapat nombor ni?"

          "I asked Darrel."

          "Darrel tak beritahu awak, saya dah bertunang?"

          "He did tapi tak salah rasanya kita berkawan."

          "Maaf, saya rasa ni salah. Sorry." Shaz meletakkan telefonnya di sebelah bantalnya sebaik mesej itu dihantar. Dia malas hendak melayan lelaki yang dia tidak kenal. Ini bukan cara dia.
           
                                  ********

          Seperti pagi-pagi Ahad sebelumnya, Shaz akan keluar untuk berjogging. Berlari-lari di sekeliling tasik yang terletak berhampiran rumahnya adalah salah satu cara dia merehatkan mindanya dan mungkin juga cara untuk melupakan Chairil. Lelaki itu umpama mimpi ngeri di siang hari, hampir setiap hari dia akan menerima mesej daripada lelaki itu. Pagi, petang, malam dan ia sudah berlarutan hampir sebulan. Mesej daripada Chairil itu langsung tidak pernah dibalasnya dan lelaki itu tetap menghantar mesej kepadanya tanpa jemu.

          Shaz duduk melepaskan penat di kerusi yang terletak berhadapan dengan tasik. Ada dua, tiga orang yang berlari di situ berpaling dan melemparkan senyuman setiap kali melintas di hadapannya.

          "Assalammualaikum, Shazlina."

          Berderau darah Shaz ketika itu. Suara itu kedengaran asing di telinganya tapi, bukan ungkapan itu. Seingatnya hanya ada seorang sahaja yang sering memanggilnya dengan nama penuh. Chairil.

          Shaz memalingkan kepalanya dan dengan spontan dia bangun apabila melihat Chairil sedang berdiri di belakangnya. Liur yang ditelan terasa perit di tekak.

          "Awak ikut saya ke?" tanya Shaz setelah agak lama tergamam di situ.

          "Tak. Kebetulan lalu sini." Chairil mengukir senyuman lebar, lesung pipit di pipi kirinya jelas kelihatan.

          "You're not from here. Macam mana boleh kebetulan pula?" Buntang mata Shaz memandang.

          "Kebetulan nampak tasik ni. Saya singgah sekejap. Tak sangka terserempak dengan Shazlina."

          "Saya tak percaya."

          "Saya tak paksa Shazlina percaya dengan saya." Chairil tersenyum lagi. Senyuman yang mampu menggugat iman Shaz. Senyuman yang mampu mencairkan hati mana-mana perempuan yang memandang.

          Shaz semakin tidak keruan. Dia memandang wajah Chairil yang nampak tenang. Perlahan-lahan dia menapak setapak ke belakang dan tanpa berfikir panjang terus dia mengatur langkah meninggalkan Chairil. Dia berasa tidak selesa berdiri berhampiran lelaki itu dan selepas beberapa langkah, dia menoleh. Chairil langsung tidak mengekorinya, lelaki itu hanya duduk di kerusinya tadi dengan pandangannya mengadap tasik.

          "Di kenal Chairil?" tanya Shaz pada suatu petang ketika Diana menemaninya ke butik pakaian pengantin.

          "Chairil? Kenal-kenal macam tu aje. Ada dua, tiga kali aje dia datang rumah. Kenapa?" tanya Diana sedikit hairan.

          "Tanya aje." Shaz cuba mengawal suaranya.

          "Dia hansome kan tapi, along cakap dia dah bertunang." Suara Diana sedikit kedengaran kecewa apabila perkataan bertunang terluncur di bibirnya.

          "Oh, yeke." Kedengaran ada nada kecewa pada suara Shaz. Jelas kelihatan perubahan di wajahnya mendengar kata-kata Diana itu. Diana berhenti menyelak album gambar perkahwinan di hadapannya. Wajah Shaz direnung untuk penjelasan.

          "Ada benda Shaz sorok daripada Di ke?"

          "Sorok apa? Tak ada apalah," dalih Shaz. Matanya dilarikan daripada ditentang mata tajam Diana.

          "I smell something fishy here." Diana mula curiga. Album gambar di hadapannya ditutup perlahan. Matanya memandang tepat wajah Shaz. Dia perasan ada kelainan di wajah Shaz. Bagai ada sesuatu yang disembunyikannya.

          "Shaz nak kahwin lagi dua bulan okay, jangan nak fikir bukan-bukan." Shaz mengukir senyuman hambar, cuba menghakis rasa curiga Diana.

          "How did you know Chairil, anyway? You seem to know him well. The way you asked about him." Diana terus menebak soalan.

          "From Darrel. Jangan fikir bukan-bukanlah Di."

          "Di peliklah, sebab Shaz kenal Chairil. Tahu nama dia then, tiba-tiba tanya pasal dia. Memang patutlah Di curiga, kan?"

          "He looks familiar to me, sebab itulah." Dalih Shaz. Wajahnya merah membahang. Malu kerana Diana mula mencurigainya dan pada masa yang sama dia malu dengan dirinya sendiri, hakikat dia menyimpan sekumit perasaan terhadap lelaki yang sudah bertunang itu. Lebih memalukan dirinya sendiri adalah tunangan orang.

          "Looks familiar like what? Like your ex? Or, he is your ex. Before Azril."

          "Jangan mengarutlah, Di. Sumpah, Shaz tak kenal dia."

          "Or Shaz suka dia? Dalam diam." Diana masih tidak berputus asa. Dia tahu ada yang disembunyikan Shaz kalau tidak, mustahil nama Chairil boleh keluar dari mulut Shaz.

          "No!" Pantas Shaz menjawab.

          "Shaz masih ada masa nak batalkan pertunangan ni."

          "Diana! Kalau Shaz nak batalkan pertunangan ni, dulu lagi Shaz buat and I'll choose Azril over him. Chairil.. He's just no one, I don't have feelings toward him. Shaz ni tunang orang. Lagipun, perasaan cinta tu dah lama mati. Jiwa Shaz ni dah mati untuk semua tu."

          Shaz pandang wajah Diana seketika sebelum tangannya pantas mencapai album gambar perkahwinan di hadapan Diana. Senyuman hambar dilemparkan kepada Diana.

                                   *******

          "Assalammualaikum, Shazlina."

          Shaz membaca mesej yang tertera di skrin telefonnya itu. Mesej daripada Chairil. Hatinya melonjak tetapi, pada masa yang sama jiwanya meruntun satu rasa yang sukar digambarkan.

          "Awak dah bertunang kan? I think you should stop texting me." Shaz membalas tidak sampai seminit selepas menerima mesej itu.

          "I miss you."

          "Stop! You better stop doing this!" Laju jari-jari Shaz menari di skrin telefon membalas mesej itu. Telefon dilempar di atas katil sebaik mesej itu dihantar.

          Ya, Allah. Dugaan apakah ini, cetus hati kecilnya. Wajahnya diraup beberapa kali dan wajah Chairil terus-menerus menerpa fikirannya.

          Kenapa dulu aku boleh lupakan Azril dengan mudah? Adakah kerana dia bukan jodoh aku? Dan apa kurangnya Chairil? Kenapa aku susah nak lupakan dia? Ya, Allah. Berikanlah aku petunjuk, suara Shaz sendiri.

          Shaz melangkah keluar dari biliknya. Dia kemudian turun menyusuri tangga ke tingkat bawah. Suara televisyen jelas kedengaran, dia tahu pasti itu ibunya.

          "Ibu." Lembut suaranya memanggil.

          Puan Zetty yang sedang leka menonton drama di televisyen segera menoleh, terus terukir senyum di bibir apabila melihat wajah anak tunggalnya itu.

          "Kenapa, Shaz?"

          Shaz diam. Dia perlahan-lahan melabuhkan duduknya di sebelah ibunya. Kepala dilentukkan di bahu. Dia terus diam tanpa reaksi.

          "Kenapa anak ibu ni?"

          "Abah mana ibu?" tanya Shaz tanpa menjawab soalan ibunya.

          "Abah ada di atas. Solat isyak. Dah solat?" tanya Puan Zetty sambil mengusap kepala Shaz.

          "Dah."

          "Shaz ada masalah ke?"

          "Tak adalah, ibu."

          "Ibu cukup kenal anak ibu. Kalau Shaz tak nak cerita dengan ibu, ibu tak kisah tapi, seeloknya Shaz ceritalah dengan siapa-siapa. Diana ke, janji jangan simpan atau Shaz buat solat Istikharah minta petunjuk daripada Allah. Dia yang Maha Mengetahui."

          "Ibu yakin tunang Shaz adalah yang terbaik untuk Shaz?" tanya Shaz tiba-tiba. Kepalanya ditoleh sedikit memandang wajah ibunya.

          "Mungkin. Ibu tak tahu. Ibu tak boleh meramal masa depan tapi, dia adalah calon yang terbaik."

          "Ibu pernah jumpa dia?"

          "Pernah. Ibu suka sifat yang ada pada dia. Ibu yakin dia yang terbaik untuk anak ibu," Puan Zetty mengusap rambut Shaz berkali-kali. Dia tahu anaknya gementar dengan majlis perkahwinan yang semakin menghampiri.

          Shaz termenung seketika di atas sejadah, dia baharu selesai menunaikan solat Istikharah meminta petunjuk dari Allah. Perbualan dengan ibunya tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Usai selesai melipat telekung, Shaz mencapai telefonnya. Ada mesej diterimanya. Hatinya berdebar tidak semena.

         "Selamat malam, tunang kesayanganku". Shaz terpempam. Bait kata itu bagai satu tamparan kuat di muka yang menyedarkannya. Sedar dari khayalan kosong ciptaannya sendiri. Mesej yang tersalah hantar itu, seperti batu yang menghempap kepalanya. Benar-benar mengembalikan dirinya ke dunia yang nyata, yang Chairil adalah tunangan orang, sama seperti dirinya. Mungkin inilah petunjuk dari Allah Yang Maha Besar untuknya.

          "Sayang." Shaz membuka matanya perlahan, dia dapat melihat tubuh ibunya yang sedikit membongkok dalam kesamaran malam. Entah bila dia terlena, dia sendiri tidak sedar.

          "Kenapa, ibu?" tanya Shaz sambil tangannya mengosok-ngosok matanya yang masih mengantuk. "Shaz siap sekarang." Terketar-ketar suara Puan Zetty menjawab kemudian, menyambung, "Kita pergi hospital."

          "Kenapa ni ibu?" tanya Shaz cemas, dia bingkas bangun.

          "Kenapa ni, ibu?" soal Shaz lagi apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab.

          "Tunang Shaz kemalangan." Air mata Puan Zetty merembas keluar selepas ayat itu keluar dari mulutnya. Shaz terkejut mendengar berita yang disampaikan ibunya itu, serta-merta tubuhnya menjadi lemah. Ya, Allah!

          Diana menggenggam erat tangan Shaz yang menggeletar. Tiada apa yang boleh dilakukannya untuk menenangkan Shaz dan tiada apa yang mampu dilakukannya untuk menghentikan tangisan Shaz. Diana memandang Darrel yang kelihatan sugul, begitu juga ibu Shaz. Bapa Shaz hanya mundar-mandir dengan gelisah di luar bilik ICU itu.

          "Di tahu kan benda ni? Di sengaja sorokkan hal ni kan?" Tiba-tiba Shaz bersuara dalam sebak. Diana mengangkat kepalanya memandang Darrel, dia kemudian memandang Shaz semula.

          "Di baru tahu. Along baru beritahu Di masa dalam perjalanan ke sini." Sebak suara Diana kedengaran. Dia memandang kembali wajah abangnya.

          "I'm sorry, Shaz." Darrel melutut di hadapan Shaz, tangan gadis itu digenggam. "Kenapa seksa Shaz macam ni?" tanya Shaz hiba. Suaranya menggeletar menahan rasa sedih.

          Pintu bilik ICU tiba-tiba terbuka membuatkan semua yang berada di situ bangun. Doktor lelaki berusia pertengahan 30an itu diam berdiri sambil matanya memandang setiap wajah di hadapannya.

          "Boleh saya tahu siapa keluarga pesakit?" tanya doktor itu.
         
          "Keluarga pesakit masih dalam perjalanan dari London. Kami ni keluarga tunang pesakit," terang Darrel.

          "Okeylah, macam ni. Sebelum tu saya nak minta maaf, kami dah cuba sedaya-upaya merawat kecederaan pesakit malangnya kecederaan pesakit terlalu parah. Pesakit mungkin tidak mampu bertahan sehingga esok pagi." Kaki Shaz longlai, dunianya serta-merta terasa gelap, dadanya sesak, jiwanya kosong.

          "Saya benarkan untuk tengok pesakit sekarang. Bersabarlah, ini ketentuan Allah," kata-kata terakhir doktor itu sebelum melangkah meninggalkan mereka membuatkan air matanya meluncur laju di pipi Shaz. Tubuh Diana dipeluk seerat-eratnya.

          "Shaz, kita masuk," pinta Diana perlahan. Shaz menggeleng, tubuh Diana terus dipeluk. Tangisannya semakin jelas kedengaran.

          "Shaz, masuklah," suara Puan Zetty. Tangannya lembut mengusap belakang anaknya itu. Shaz mengetap bibirnya kuat. Dia terus diam, hanya bahunya yang bergerak-gerak akibat menahan esak.

          "Shaz, kita bacakan Yassin untuk Chairil supaya dia pergi dengan tenang." Terasa tangan ibunya memaut bahunya, Shaz berpaling. Matanya jelas membengkak, mukanya merah menahan kesedihan yang tidak tertanggung olehnya. Hatinya bagai dirobek apabila mengetahui Chairil adalah tunangnya.

                            ************

          Diana menghampiri Shaz yang termenung memandang ke luar tingkap. "Shaz." Diana memanggil, bahu sepupunya itu disentuh lembut. Shaz segera menoleh, tiada senyuman di bibirnya seperti selalu.

          "Dah siap?" soal Diana. Matanya menangkap wajah Shaz yang kosong tanpa jiwa itu. Sudah 40 hari Chairil meninggal dunia dan Shaz masih sukar menerima hakikat itu. Kehidupannya hanyalah di dalam bilik itu. Mengasingkan diri.

         Shaz bangun mencapai surah Yassin di atas katil dan ketika itulah kata-kata Darrel sebulan lepas, terngiang-ngiang jelas di telinganya.

          "Chairil dah lama sukakan Shaz. Dia kenal Shaz hanya melalui gambar Shaz yang Darrel bawa masa belajar di Cambrigde. Bila dia balik sini, baru dia berterus-terang mengenai perasaan dia. Darrel bawa Chairil jumpa Mak Lang."

          "Apa gunanya sekarang, Darrel. Chairil dah tak ada."

          "Memang dia dah tak ada tapi, tengoklah apa yang dia tinggalkan. Sebab dia, Shaz belajar mengenal diri, mengenal tuhan."

          "Kenapa dia tak pernah kenalkan diri sebagai tunang Shaz. Bukan ke itu lebih mudah?"

          "Chairil mungkin membesar di UK tapi, islamnya utuh. Dia menjaga batasannya tapi, dia sentiasa memerhatikan Shaz dari jauh. Melindungi Shaz cuma mungkin, Shaz yang tak perasan."

          "Shaz, jom. Maklang dengan paklang dah lama tunggu"

          Kata-kata Diana mematikan lamunan Shaz. Matanya memandang telefon yang berada di atas meja solek, telefon itu memiliki hampir kesemua kenangannya bersama Chairil. Air matanya ditahan supaya tidak mengalir. Saat dia melangkah keluar dari biliknya, dia mengangkat tangan kirinya, memandang cincin emas yang masih tersarung di jari manisnya. Cincin ini sebagai tanda cinta separuh milik yang tidak pernah dimilikinya dan dia kini redha bahawa Chairil hanyalah pinjaman untuk dirinya.

          Selamat malam tunang kesayanganku.
         
         

No comments:

Post a Comment